Sejarah
Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia

Haji
Abdul Hamid bin Haji Hamzah
Penggerak
atau pembimbing utama yang aktif menyebarkan pembelajaran Seni
Silat Sendeng ini ialah Allahyarham Haji Abdul Hamid bin Haji
Hamzah , yang diwarisinya dari ninda-ninda beliau yang terkenal
kehebatan ilmu kependekaran dan persilatan mereka sejak awal abad
ke-20 yang silam. Beliau mula mempelajari ilmu kependekaran ini
sejak berusia 5 tahun (1932) di bawah asuhan dan bimbingan nindanya
sendiri HAJI HASSAN BIN MAHAT yang dikenali pada zamannya dengan
panggilan Haji Hassan Pendekar , mahir di bidang seni dan permainan
alat silat seperti pedang, keris, tekpi, tumbuk lada, tembong,
tuas, tongkat dan kerambit. Sepuluh tahun kemudiannya beliau berguru
pula dengan dua nindanya yang terkenal iaitu TAMAM DAGANG (terkenal
dengan gelaran pendekar yang kebal dan gagah) untuk mempelajari
pukulan / buah sendeng dan HAJI MOHD ARIFF BIN SHAMSU ,bagi mendalami
permainan Pukulan Tujuh Hari. Kedua nindanya yang terakhir ini
telah berguru dengan seorang pendekar terbilang dan Pengasas Pukulan
Sendeng iaitu LONG MAMAT yang menetap di Padang , Muar Johor Darul
Takzim. Dalam memantapkan ilmu keagamaan dan kerohanian pula beliau
mempelajari dan mendalaminya dengan HAJI MOHD SALLEH BIN ABDUL
KARIM yang terkenal dengan panggilan Kiai Salleh atau Panglima
Salleh , Batu Pahat. Beliau mula mengembangkan ilmu persilatan
sendeng ini secara individu di peringkat awalnya sekitar tahun
1950-an dan kemudian menamakannya sebagai 'Silat Sendeng Muar'.
Hampir 58 tahun, beliau mengharungi liku-liku dan pahit manis
menyebar dan menggembangkan ilmu persilatan ini ,demi mengekalkan
kesinambungan warisan pusaka bangsa yang diwarisinyanya.Pada tanggal
19 Mei 1990 bersamaan 23 Syawal , 1410 Hijrah , beliau kembali
ke rahmatullah dalam usia 63 tahun. Al - Fatihah.
Haji
Ismail bin Haji Hamzah (Guru Utama PSSSM)
Pemergian
Allahyarham Hj.Hamid dianggap sebagai satu kehilangan besar bagi
keluar ga sendeng seluruhnya. Perjuangan, pengorbanan dan jasanya
terhadap Seni Silat Sendeng Malaysia mempunyai erti yang amat
bermakna sekali terutama di dalam memperkembangkan SSSM ke beberapa
negeri di tanahair.Berbagai cabaran,onak dan duri direntasi, ombak
serta badai diharungi.Namun yang pergi tetap pergi, yang tinggal
sebagai pengganti. Perjuangan memartabatkan SSSM harus diteruskan.
kata pepatah 'patah tumbuh hilang berganti'. Hj.Ismail bin Hj.Hamzah,
kemudiannya telah menerajui dan meneruskan perjuangan abangnya
dan ditabalkan sebagai Guru Utama.Sebagai adik kepada pengasas
(Hj.Hamid) dan dibesarkan di kalangan keluarga pendekar, sudah
pasti memperjuang dan menyambung amanah SSSM tidak menjadi keberatan
terhadap beliau. Kebolehan dan ketokohan semulajadi berkat bimbingan
ibubapa, datuk-datuk dan abangnya, menambahkan lagi kekuatan dan
semangat beliau untuk melayari bahtera sendeng mengharungi samudera
yang penuh dengan seribu satu macam rintangan dan halangan. Sejak
kepimpinan Hj.Ismail, SSSM telah didaftarkan pada 1992 dan kini
bergerak dengan cergas di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Kelantan dan
WP Labuan.